Sebelum saya menulis tentang peristiwa bersejarah dalam Islam yang berlaku pada bulan Rejab,terlebih dahulu saya menerangkan info yang lebih lanjut mengenai bulan Rejab ini yang dikatakan mempunyai amalan khusus dalam bulan ini .
Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.
Kalau diperhatikan kepada masyarakat kita Malaysia dalam bulan Rejab ,
ramai dikalangan kita mempunyai kepercayaan terhadap fadhilat bulan
Rejab serta mereka melakukan amal ibadat tertentu dalam bulan Rejab
berdasarkan hadith-hadith yang lemah lagi munkar ( palsu) .
Kata Qadhi Al-Fadhil bin Ayadh rahimahullah - :"sesungguhnya sesuatu
amalan itu sekiranya dilakukan dengan rasa ikhlas tetapi tidak betul dan
tepat maka ia tidak akan diterima dan sekiranya amalan itu dilakukan
dengan betul dan tepat tetapi tidak dengan niat ikhlas maka ia tidak
diterima juga, sehinggalah amalan itu dilakukan dengan rasa ikhlas dan
betul serta bertepatan barulah ia diterima oleh Allah. Katanya lagi :
yang dikatakan ikhlas ialah semata-mata kerana Allah swt dan yg
dimaksudkan dengan betul atau betetapan itu ialah mengikut sunnah Nabi".
{sila lihat kita Jami' Ulum dan Hikam Ibnu Rejab : ms 72 }
Syarat diterima sesuatu amalan itu oleh Allah ada dua syarat:-
Niat ikhlas kepada Allah . Dalilnya firman Allah maksudnya : "Pada hal
mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan
supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang
demikian itulah agama yang benar" ( surah Al-Baiyinah :5)
Mengikut Sunnah Nabi. Dalilnya sabda Nabi maksudnya: "Barangsiapa yang
beramal dengan satu amalan yang bukan dari pertunjuk kami maka ia
tertolak" atau hadith :"barangsiapa yang mengreka-reka satu amalan dalam
agama dimana amalan itu bukan dari agama maka ia tertolak ( tidak
diterima)" [ hadith dari Aisyah r.aha riwayat Al-Bukhari dan Muslim ,
Kitab Syarah Sunnah oleh Al-Baghawi : jz 1/ ms 211 ]
Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam dan ia
merupakan salah satu dari 4 bulan 'Haram' didalam Islam. Dalilnya
terdapat di dalam Firmah Allah swt di dalam Surah Al-Taubah ayat 9
maksudnya : "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah
ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa
Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang
dihormati" . Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram.
Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama' ialah
Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan
pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut.
Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang
Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari
tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa
bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad saw.
Diantara perkara-perkara yang menjadi kepercayaan dan amalan yang dilakukan dalam bulan Rejab iaitu:-
1. Sambutan perayaan sempena Isra' dan Mi'raj pada 27 rejab dengan
amalan-amalan tertentu. Kata Imam Bin Baaz rahimahullah : "pada malam 27
rejab yang dikatakan berlaku peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi saw ,
tidak ada satu pun hadith sahih yang menentukan bila berlakunya Isra'
dan Mi'raj Nabi . Hadith-hadith yang meriwayatkan tentang malam
belakunya Isra' dan Mi'raj kesemuanya tidak sahih dari Nabi di sisi ahli
hadith. Ada hikmah Allah swt yang tertentu disebalik tidak menyatakan
kepada manusia bila hari belaku peristiwa itu .Jika sekalipun peristiwa
Isra' dan Mi'raj belaku pada tarikh yang dikatakan itu , tidak boleh
bagi umat Islam menentukan dan melakukan sesuatu amal ibadat pada 27
rejab dan tidak harus melakukan sambutan perayaan pada hari itu kerana
Nabi saw dan para sahabatnya tidak pernah melakukannya dan juga mereka
tidak pernah menentukan sesuatu amal ibadat pun pada hari itu. Kalaulah
ia satu perkara yang disyariatkan oleh agama sudah tentu Nabi saw telah
menerangkannya kepada sahabatnya dengan perkataan atau perbuatan .Kalau
benar-benar ada sambutan perayaan dan amal ibadat tertentu dibuat oleh
Nabi sudah tentu telah tersebar dengan meluas dan para sahabat telah
menyatakannya kepada kita. ( Risalah At-Tahzir min Bid'ah Risalah
peringatan daripada Bid'ah : ms 7 )
Puasa Khas pada 27 Rejab Sempena Isra' dan Mi'raj. Kata Syeikh Dr. Yusuf
Al-Qardhawi : "antara puasa bulan haram ialah puasa pada 27 rejab yang
direka-reka oleh setengah orang mengikut hawa nafsu mereka semata-mata ,
yang tidak disyariatkannya oleh Allah dan tidak dilakukan oleh Nabi
kita saw serta para Khulafa Rasyidin dan juga tidak ada para ulama yang
menyuruh melakukannya . Dikalangan kita beranggapan bahawa pada 27 rejab
itu berlaku satu peristiwa besar terhadap Nabi kita saw iaitu Isra' dan
Mi'raj, oleh itu kita harus bersyukur atas nikmat besar ini yang
dikurnia oleh Allah kepada Nabi kita dengan cara kita berpuasa pada hari
itu. Tidak ada dalil yang mensyariatkan berpuasa pada hari itu. Kata
Ibnu Qaiyim dalam kitabnya Zaadil Mi'aad didalam menerangkan tentang
malam Isra' dan Mi'raj yang diambil dari kata Syeikh Islam Ibnu Tiamiyah
: tidak diketahui seorang pun dari kalangan muslimin yang menentukan
kelebihan malam Isra' dan Mi'raj daripada malam yang lain. Jika ada
kelebihan malam itu sudah tentu para sahabat telah menerangkannya oleh
kerana tidak diketahui bilakah malam belaku Isra' Mi'raj dan tidak ada
dalil yang jelas menerangkan Isra' Mi'raj belaku pada bulan Rejab
terutama malam 27 . Oleh itu tidak harus kaum muslim menentukan apa pun
jenis ibadat pada malam 27 rejab atau malam selainnya. (Islam Online.net
, Fatwa Dr Yusuf Qardhawi bertarikh 22 /09 / 2003 )
Solat Raghaaib ( solat-solat sunat) . a) Sifat solat raghaib : Hadith
yang meceritakan sifat solat sunat dalam bulan Rejab adalah hadith dusta
terhadap Nabi saw . Antara hadithnya yang dikatakan dari Anas bin Malik
ra berkata , bersabda Nabi saw: " Bulan Rejab bulan Allah , bulan
Sya'ban bulanku , bulan Ramadhan bulan umatku" ..sehingga sabdanya
"tidak sesorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam
bulan Rejab , kemudian ia bersolat pada malam jumaat antara waktu isyak
12 rakaat .. kecuali Allah akan mengamponi kesemua dosanya sekalipun
dosanya seperti buih dilaut dan sebanyak daun-daun pohon kayu serta
diberi syafa'at pada hari kiamat sebanyak 700 dari ahli bait.sehingga
akhir hadith . Kata Ibnu Al-Jauzi rahimahullah : "hadith-hadith ini
adalah hadith maudhu' ( palsu) terhadap Nabi saw. Kerana dalam riwayat
hadith ini terdapat orang yang bernama Ibnu Juhaim dimana para ahli
hadith menyifatkannya sebagai pendusta . Aku telah mendengar dari
syeikhku Abdul Wahab Hafiz menyatakan :"perawi-perawi hadith itu tidak
diketahui siapa mereka dan aku telah berusaha mencari dalam semua kitab
perawi hadith tidak seorang pun nama-nama mereka yang aku temui" [ sila
lihat kitab hadith-hadith palsu ( Maudhu'at) oleh Ibnu Al-Juazi : jz 2 /
ms 123-125 ]
Begitu juga kata Imam As-Syaukani rahimahullah : " hadith-hadith itu
adalah hadith maudhu ( palsu) dan para perawinya majhul ( tidak
dikenali) ,inilah solat-solat sunat yang menjadi mahsyur dikalangan umat
Islam , kesemua ahli para hafiz hadith bersepakat mengatakan bahawa
hadith itu palsu . ( Kitab Al- Fawaeid Al-Majmuah dalam hadis-hadis
palsu :ms 48)
b) Hukumnya, kata Iman An-Nawawi : "Sesungguhnya solat-solat raghaib itu
adalah bid'ah munkarah daripada bid'ah yang sesat" ( Kitab Sahih Muslim
Syarah Imam An-Nawawi : jz 8 / ms 20 )
Kata Syeikh Islam Ibnu Tiamiyah : " Solat raghaib dalam bulan Rejab
tidak ada asalnya dari agama malah ia dari perkara bid'ah yang
direka-reka dengan sepakat para ulama , tidak disunahkan oleh Nabi saw
dan tidak ada seorang pun dari kalangan Khulafa Rasyidin yang
melakukannya dan tidak juga para ulama seperti Imam Malik , Syafei,
Ahmad, Abu Hanifah , Thauri, Auza'ei, Laith dan selain dari mereka .
Hadith-hadith yang diriwayat tentangnya kesemuanya palsu lagi dusta. (
Majmuk Fatawa Syeikh Islam Ibnu Tiamiyah : jz 23 / ms 123)
Begitu juga kata Hafiz Ibnu Rejab :"Solat raghaib ini adalah bid'ah di
sisi jumhur ulama. Solat ini tidak disebut oleh para ulama dahulu kerana
ia direka dan awal timbulnya selepas zaman mereka sesudah 400 tahun". (
Kitab Lataeif Al-Ma'arif Ibnu Rejab : ms 228 )
4. Puasa Bulan Rejab keseluruhannya atau sebahagiannya dengan
berkeyakinan ada ganjaran-ganjaran pahala tertentu ( fadhilatnya).
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani : "tidak ada hadith sahih yang
menceritakan tentang kelebihan bulan Rejab dan tidak juga tentang puasa
Rejab atau pun puasa yang tertentu dan juga tentang solat qiamulail yang
khas dalamnya". ( Kitab Tabyin Al-A'jab dalam bab menceritkan tentang
fadhilat Rejab , Ibnu Hajar : ms 23 )
Kata Ibnu Qaiyim :" hadith-hadith yang menceritakan tentang puasa rejab
dan solat sebahagian malam pada bulan rejab adalah kesemuanya hadith
palsu yang diada-adakan" ( Kitab Al-Manar Al-Munif dalam Hadith Sahih
dan Dhaeif , Ibnu Al-Qaiyim : ms 97 )
Diceritakan bahawa Saidina Umar Ibnu Khatab ra telah memukul
tangan-tangan orang yang berpuasa rejab sehingga mereka meninggalkannya
serta berkata: bahawasanya bulan rejab ini adalah bulan yang dihormati
dan dimuliakan oleh orang-orang jahiliyah. ( diceritakan oleh Ibnu
Dahiyah dalam kitabnya yang berjudul : Adaa' Ma Wajaba Min Bayan Wadh'ei
Al-Wadhaa'ein Fil Rejab, ms 113 . Disahkan cerita ini oleh Syeikh
Albaani dalam kitab Irwa' Al-Ghalil : jz 4 / ms 113-114 )
Kata Imam At-Taratusyei : "jika sesorang itu ingin berpuasa dalam bulan
Rejab dibolehkan asalkan bukan puasanya itu kerana bulan Rejab serta
jangan berangapan ia adalah wajib atau sunat". ( Kitab Hawadith dan
Bid'ah , At-Taratusyei :ms 110-111 )
Umrah Dalam Bulan Rejab Dengan Berkeyakinan Menuniakan Umrah Dalamnya
Ada Fadhilat Tertentu. Tidak ada hadith yang menceritakan bahawa Nabi
saw melakukan umrah dalam bulan Rejab atau mengkhususkan umrah dalam
rejab sahaja tanpa bulan yang lain. Tidak ada beza pahala umrah pada
bulan rejab dari bulan yang lain sebagaiman yang disangka oleh setengah
orang. Nabi saw me;lakukan umrah sepanjang hayat sebanyak 4 kali sahaja
iaitu : 1- Umrah Hudaibiyah pada tahun ke 6 hijrah. 2- Umrah Qadha pada
tahun selepasnya ( tahun ke7 hijrah). 3- Umrah dari Ja'ranah ketika
keluar dalam peperangan Hunain. 4- Umrah bersama dengan haji ketika Nabi
menunaikan haji. ( kitab Zaadul Mi'aad , Ibnu Qaiyim : jz 2 / ms 90-91 )
Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alisyeikh rahimahullah menyatakan bahawa para ulama
melarang daripada menentukan hanya pada bulan Rejab sahaja banyak melakukan umrah.
( Kitab Fatawa Syeikh Muhammad Bin Ibrahim Alisyeikh : jz 6/ ms 131 )
Berkata Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz At-Tuwajiri : "pendapat yang kuat
disisiku wallahu alam- ialah mengkhususkan umrah hanya pada bulan Rejab
tidak ada asal usulnya dari agama kerana tidak ada dalil syara' (
Al-Quran dan Sunnah) yang mengkhususkan umrah dalam bulan Rejab ,
disampin itu terbukti dari sirah Nabawi bahawa beliau tidak pernah
melakukan umrah pada bulan Rejab sama sekali. ( Kitab Bid'ah Hauliyah
Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz At-Tuwajiri :ms 238 )
Kalau benar ada fadhilat yang tertentu bagi umrah dalam bulan Rejab
sudah tentu para ulama telah menyebutnya kerana mereka lebih mengambil
berat terutama dalam hal-hal ibadat sebagaimana fadhilat umrah dalam
bulan Ramadhan dan seumpamanya .
Sebagaimana yang diceritakan dari Ibnu Umar ra , ketika mana dia ditanya
orang :" wahai ayah Abdul Rahman, adakah pernah Nabi saw berumrah pada
bulan Rejab" , jawabnya : ya , bila Aisyah r.aha mendengar jawab Ibnu
Umar itu , ia menafikan yang Nabi pernah berumrah dalam bulan Rejab.
Ibnu Umar bila mendengar penafian Aisyah itu , ia terdiam tidak berkata
apa-apa samada tidak atau ya . Kalau betul ada fadhilat umrah dalam
bulam Rejab sudah tentu Aisyah telah menyebutnya. ( sila lihat kitab
Adab dalam bulan Rejab oleh Mala Ali Qari : ms 49-51 )
Peristiwa Bersejarah dalam Bulan Rejab ialah :-
1.Hijrah Pertama
Surat Nabi s.a.w kepada Raja Habsyah |
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan
dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada
Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu
kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu
Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Peta Habsyah(Ethiopia) |
Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri
di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun
langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke
Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW.
Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih
adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.
2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke
Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT
dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama
mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17
RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama
mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada
tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.
Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim
Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal.
Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27
Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.
Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada
sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula
diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12
dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah
ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi
S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari
semuanya itu.
Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah
mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk
mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi
S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah
itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)
3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara
Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam
berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan
diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam
yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran
4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di
zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di
zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah
melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya
dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh
pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir
60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal
Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul
Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan
pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis
(Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
Masjidil Aqsa |
5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di
Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab.
Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam
dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan
imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga
sekarang ialah kitab al-Umm.
No comments:
Post a Comment